Wednesday 24 August 2011

KEMUDI berbuka puasa bersama PETRONAS


Oleh Norliza Wasilan (Setiausaha KEMUDI)
Gambar sumbangan Fathil Asri

KOTA BHARU: Bagi menyemarakkan Ramadan dan mengeratkan hubungan baik dengan media di Kelantan, Petronas Wilayah Pantai Timur tidak ketinggalan mengadakan majlis berbuka puasa dihadiri kira-kira 50 wartawan, jurufoto dan jurukamera dalam suasana mesra dan muhibbah.
  Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Zulkifly Mohd Ismail, berkata pihaknya berharap hubungan baik bersama media di Kelantan akan berterusan dan bertambah erat.
  "Kita gembira apabila ada rakan (media) di Kelantan bersama-sama dengan kita, oleh itu, saya berharap dengan adanya pertemuan seperti ini ia sekali gus dapat mempereratkan hubungan antara Petronas  dengan media," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di sini.


  Sementara itu, Presiden KEMUDI, Anwar Hussin, berkata meskipun KEMUDI baru saja didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), namun pihaknya berbesar hati atas kesudian Petronas Wilayah Pantai Timur meraikan warga media sempena Ramadan tahun ini.
  Beliau berharap hubungan terjalin itu akan diteruskan memandangkan KEMUDI mempunyai pelbagai program untuk dilaksanakan pada masa depan.
  "Kita amat berbesar hati dengan jemputan Petronas Wilayah Pantai Timur kepada KEMUDI, kita mengharapkan hubungan lebih akrab antara kedua-dua belah pihak yang mana ia boleh memberi manfaat kepada semua," katanya.


  Sebaik majlis berbuka puasa, KEMUDI diwakili Anwar dengan disaksikan Zulkifly menyampaikan sumbangan kepada Shamsudin Mohamad, 55, yang pernah berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Pergerakan Shamsudin kini terhad dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat selepas diserang penyakit angin ahmar.