Wednesday 24 August 2011

KEMUDI rai anak yatim

Oleh Norliza Wasilan (Setiausaha KEMUDI)
Gambar sumbangan Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Tidak lengkap rasanya apabila Ramadan yang dilalui tidak diraikan bersama-sama dengan anak-anak yatim, atas prinsip itulah Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) tidak mahu ketinggalan meraikan kira-kira 30 penghuni Rumah Perlindungan Kelab Balkis, dekat sini.
   Sempena majlis sahur yang julung kalinya diadakan sejak KEMUDI ditubuhkan, anak-anak penghuni rumah perlindungan itu turut menerima sumbangan untuk menceriakan hari puasa mereka yang tinggal kira-kira dua minggu lagi.



   Sumbangan disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada kira-kira 30 anak-anak yatim. Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Rosmadi Ismail; dan Timbalan Presiden KEMUDI, Harris Hazri Abdul Halim.
   Mustapa berkata, beliau yang berbangga dengan inisiatif KEMUDI berharap supaya kelab berkenaan akan terus mendekatkan diri dengan aktiviti kebajikan, pada masa sama mengeratkan hubungan silaturrahim.



    "Insyaallah kita berharap tahun depan ada diadakan program seperti ini lagi dalam usaha mendekatkan media dengan badan kebajikan," katanya pada Program Sahur Bersama penghuni Rumah Perlindungan Kelab Balkis, malam kelmarin.
  Sementara itu, Harris Hazri, berkata program bersahur yang kali pertama dianjurkan itu diharap dapat diteruskan pada tahun depan dalam usaha menjalin hubungan erat dengan badan bukan kerajaan (NGO).