Monday 29 July 2013

KEMUDI SERAH SUMBANGAN KEPADA LIMA BERADIK YATIM PIATU













Berita Sumbangan Nurul Akmar Aida Suhaimi/ Utusan Malaysia

KOTA BHARU: Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) telah menyampaikan bantuan kewangan dan barangan kepada lima beradik yatim piatu yang hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan di Kampung Chekok di sini.

Presiden KEMUDI, Anwar Husin berkata ini merupakan salah satu aktiviti kelab kemudi pada bulan ramadhan ini bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Meskipun jumlah yang disumbangkan tidaklah besar namun ia diharapkan dapat membantu anak-anak yatim itu membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

"kali ini pihak kami telah memilih lima beradik yang telah kehilangan ibu bapa untuk meringankan bebanan mereka dalam menjalani kehidupan.

"Saya harap program sebegini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang untuk membantu golongan yang memerlukan agar mereka lebih selesa menjalani kehidupan yang mendatang,"katanya.

Sementara itu, anak sulung daripada lima beradik, Muhamad zulhairie Zainudin,17, meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana menerima sumbangan daripada pihak yang masih prihatin akan nasib mereka sekeluarga.

"Saya berterima kasih kepada pihak kemudi kerana sudi menghulurkan bantuan dari segi kewangan serta barangan keperluan untuk membantu kami adik beradik.

"Dengan sumbangan yang diperolehi ini, saya akan gunakan untuk membiayai persekolahan adik- adik dan akan disimpan untuk kegunaan pada masa akan datang,"ujarnya.

Menurut muhamad Zulhairie, ini merupakan kali pertama mereka berpuasa dan beraya tanpa bapa tercinta, Zainudin Nafi,43 kerana telah meninggal dunia pada Mei lalu akibat sakit dalam perut.

Malang berganda apabila ibu mereka pula, Habibah Mat Adam,33 meninggal dunia pada tahun 2010 akibat jangkitan kuman.

Muhammad Zulhairie berkata, dia kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi membesarkan serta memastikan empat adiknya berusia antara 7 hingga 15 tahun mendapat pendidikan sempurna bagi menjamin masa depan mereka.

"Walaupun agak berat, demi melihat adik-adik membesar dengan penuh kasih sayang dan pelajaran yang secukupnya, saya akan gagahkan kudrat untuk menunaikan amanah ini dengan sebaik mungkin.