Wednesday 24 August 2011

KEMUDI berbuka puasa bersama PETRONAS


Oleh Norliza Wasilan (Setiausaha KEMUDI)
Gambar sumbangan Fathil Asri

KOTA BHARU: Bagi menyemarakkan Ramadan dan mengeratkan hubungan baik dengan media di Kelantan, Petronas Wilayah Pantai Timur tidak ketinggalan mengadakan majlis berbuka puasa dihadiri kira-kira 50 wartawan, jurufoto dan jurukamera dalam suasana mesra dan muhibbah.
  Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Zulkifly Mohd Ismail, berkata pihaknya berharap hubungan baik bersama media di Kelantan akan berterusan dan bertambah erat.
  "Kita gembira apabila ada rakan (media) di Kelantan bersama-sama dengan kita, oleh itu, saya berharap dengan adanya pertemuan seperti ini ia sekali gus dapat mempereratkan hubungan antara Petronas  dengan media," katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di sini.


  Sementara itu, Presiden KEMUDI, Anwar Hussin, berkata meskipun KEMUDI baru saja didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), namun pihaknya berbesar hati atas kesudian Petronas Wilayah Pantai Timur meraikan warga media sempena Ramadan tahun ini.
  Beliau berharap hubungan terjalin itu akan diteruskan memandangkan KEMUDI mempunyai pelbagai program untuk dilaksanakan pada masa depan.
  "Kita amat berbesar hati dengan jemputan Petronas Wilayah Pantai Timur kepada KEMUDI, kita mengharapkan hubungan lebih akrab antara kedua-dua belah pihak yang mana ia boleh memberi manfaat kepada semua," katanya.


  Sebaik majlis berbuka puasa, KEMUDI diwakili Anwar dengan disaksikan Zulkifly menyampaikan sumbangan kepada Shamsudin Mohamad, 55, yang pernah berkhidmat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Pergerakan Shamsudin kini terhad dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat selepas diserang penyakit angin ahmar. 
 


 
 
 

KEMUDI rai anak yatim

Oleh Norliza Wasilan (Setiausaha KEMUDI)
Gambar sumbangan Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Tidak lengkap rasanya apabila Ramadan yang dilalui tidak diraikan bersama-sama dengan anak-anak yatim, atas prinsip itulah Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) tidak mahu ketinggalan meraikan kira-kira 30 penghuni Rumah Perlindungan Kelab Balkis, dekat sini.
   Sempena majlis sahur yang julung kalinya diadakan sejak KEMUDI ditubuhkan, anak-anak penghuni rumah perlindungan itu turut menerima sumbangan untuk menceriakan hari puasa mereka yang tinggal kira-kira dua minggu lagi.



   Sumbangan disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed kepada kira-kira 30 anak-anak yatim. Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, Rosmadi Ismail; dan Timbalan Presiden KEMUDI, Harris Hazri Abdul Halim.
   Mustapa berkata, beliau yang berbangga dengan inisiatif KEMUDI berharap supaya kelab berkenaan akan terus mendekatkan diri dengan aktiviti kebajikan, pada masa sama mengeratkan hubungan silaturrahim.



    "Insyaallah kita berharap tahun depan ada diadakan program seperti ini lagi dalam usaha mendekatkan media dengan badan kebajikan," katanya pada Program Sahur Bersama penghuni Rumah Perlindungan Kelab Balkis, malam kelmarin.
  Sementara itu, Harris Hazri, berkata program bersahur yang kali pertama dianjurkan itu diharap dapat diteruskan pada tahun depan dalam usaha menjalin hubungan erat dengan badan bukan kerajaan (NGO).
 









  
 

KEMUDI PicBadges untuk Facebook

Jika ada ahli yang berminat untuk membuat pic badges di Facebook masing-masing, sila layari sesawang berkenaan seperti di bawah:
http://www.picbadges.com/
Sila guna gambar logo KEMUDI di bawah ini untuk pic badges anda.
Untuk saiz gambar logo KEMUDI yang lebih besar, boleh muat turun di album foto group Facebook KEMUDI.

*untuk contoh pic badges sila lihat Facebook Fakri Berita Harian.

Tuesday 23 August 2011

Selamat Datang

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Selamat datang diucapkan kepada ahli kelab dan rakan seperjuangan dalam bidang kewartawanan di Kelantan. Dengan terciptanya blog ini serta perkumpulan (group) di laman sosial Facebook diharap dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita, masa sama dapat menyalurkan setiap maklumat dan informasi menarik untuk dikongsikan bersama.